Monday, May 16, 2016

Teman Terbaik Buat Anak


Fitrah seorang manusia, ingin berteman dan ingin didampingi. Tidak betah rasanya jika sepanjang masa keseorangan tanpa teman dan sahabat untuk berbual dan bergurau senda.

Anak-anak juga begitu. Mereka ingin berkawan dan berteman. Ingin berkongsi mainan, ingin bermain dan ingin bersosial. Namun, dalam kegusaran dunia hari ini dengan pelbagai ragam manusia, terasa takut untuk melepaskan anak-anak untuk mencari teman kerana Rasulullah s.a.w bersabda:

الْمُؤْمِنُ مَرْآةُ أَخِيهِ وَالْمُؤْمِنُ أَخُو الْمُؤْمِنِ
"Seorang Mu'min adalah cermin bagi saudaranya. Seorang mukmin adalah saudara bagi mukmin yang lain." (HR. Abu Daud dari Abu Hurairah -radhiallahu anhu-)

Sangat besar pengaruh seorang teman, kawan dan sahabat dalam pembentukan peribadi seorang anak. Jika baik teman yang dipilih maka baik jugalah peribadi anak-anak kita. Namun jika tersalah memilih teman, buruk jugalah padahnya.

Kerana itulah Nabi s.a.w menunjukkan jalan pintas dalam memilih sahabat. Dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim disebutkan dari Hurairah Radhiyallahu 'Anhu. Seseorang datang mengadap Rasulullah s.a.w dan bertanya :

"Siapa orang yang paling berhak untuk aku jadikan sebagai teman baik?" Beliau menjawab, "Ibumu". "Dia bertanya lagi, "Kemudian siapa?" Beliau menjawab, "Ibumu". "Dia bertanya lagi, "Kemudian siapa?" Beliau menjawab, "Ibumu". "Dia bertanya lagi, "Kemudian siapa?" Beliau menjawab, "Bapamu".

Kerana anjuran Rasulullah s.a.w itu, maka sewajarnya seorang ibu khususnya dan juga bapa berusaha menjadi teman pertama anak-anak sebelum mereka mencari teman-teman lain yang lebih akrab di luar rumah. Jika kita telah berjaya mendapat kepercayaan mereka sebagai teman dan sahabat pertama mereka, maka kita bakal menjadi pakar rujuk mereka dalam perjalanan mencari teman-teman lain di luar rumah.


Semoga kitalah cerminan bagi anak-anak kita kerana kita juga adalah guru pertama buat anak. Tiada seorang manusia yang waras di muka bumi ini apabila bergelar ibu bapa, mereka mempunyai niat untuk merosakkan anak kandung mereka. Cuma terkadang cara mereka salah kerana kurangnya ilmu.

Untuk maklumat lanjut berkenaan komunikasi yang dianjurkan bersama anak-anak sila Klik Di Sini. Atau mahu tahu lanjut gaya keibubapaan anda : Klik Di Sini.

Semoga sedikit panduan ini bakal menjadikan kita ibu bapa yang lebih baik dari sebelumnya.

Wallahu'alam...

No comments:

Post a Comment