Monday, May 16, 2016

Teman Terbaik Buat Anak


Fitrah seorang manusia, ingin berteman dan ingin didampingi. Tidak betah rasanya jika sepanjang masa keseorangan tanpa teman dan sahabat untuk berbual dan bergurau senda.

Anak-anak juga begitu. Mereka ingin berkawan dan berteman. Ingin berkongsi mainan, ingin bermain dan ingin bersosial. Namun, dalam kegusaran dunia hari ini dengan pelbagai ragam manusia, terasa takut untuk melepaskan anak-anak untuk mencari teman kerana Rasulullah s.a.w bersabda:

الْمُؤْمِنُ مَرْآةُ أَخِيهِ وَالْمُؤْمِنُ أَخُو الْمُؤْمِنِ
"Seorang Mu'min adalah cermin bagi saudaranya. Seorang mukmin adalah saudara bagi mukmin yang lain." (HR. Abu Daud dari Abu Hurairah -radhiallahu anhu-)

Sangat besar pengaruh seorang teman, kawan dan sahabat dalam pembentukan peribadi seorang anak. Jika baik teman yang dipilih maka baik jugalah peribadi anak-anak kita. Namun jika tersalah memilih teman, buruk jugalah padahnya.

Kerana itulah Nabi s.a.w menunjukkan jalan pintas dalam memilih sahabat. Dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim disebutkan dari Hurairah Radhiyallahu 'Anhu. Seseorang datang mengadap Rasulullah s.a.w dan bertanya :

"Siapa orang yang paling berhak untuk aku jadikan sebagai teman baik?" Beliau menjawab, "Ibumu". "Dia bertanya lagi, "Kemudian siapa?" Beliau menjawab, "Ibumu". "Dia bertanya lagi, "Kemudian siapa?" Beliau menjawab, "Ibumu". "Dia bertanya lagi, "Kemudian siapa?" Beliau menjawab, "Bapamu".

Kerana anjuran Rasulullah s.a.w itu, maka sewajarnya seorang ibu khususnya dan juga bapa berusaha menjadi teman pertama anak-anak sebelum mereka mencari teman-teman lain yang lebih akrab di luar rumah. Jika kita telah berjaya mendapat kepercayaan mereka sebagai teman dan sahabat pertama mereka, maka kita bakal menjadi pakar rujuk mereka dalam perjalanan mencari teman-teman lain di luar rumah.


Semoga kitalah cerminan bagi anak-anak kita kerana kita juga adalah guru pertama buat anak. Tiada seorang manusia yang waras di muka bumi ini apabila bergelar ibu bapa, mereka mempunyai niat untuk merosakkan anak kandung mereka. Cuma terkadang cara mereka salah kerana kurangnya ilmu.

Untuk maklumat lanjut berkenaan komunikasi yang dianjurkan bersama anak-anak sila Klik Di Sini. Atau mahu tahu lanjut gaya keibubapaan anda : Klik Di Sini.

Semoga sedikit panduan ini bakal menjadikan kita ibu bapa yang lebih baik dari sebelumnya.

Wallahu'alam...

Tuesday, May 10, 2016

Gaya Keibubapaan dan kesan pada pembentukan anak - anak

Bismillahirrahmanirrahim

Susunan Teks oleh: Mardhiah Samsuri
*Teks disusun daripada bahan Modul Belaian Fitrah yang disediakan oleh Puan Hajah Azlina Roszy bt. Mohamad Ghaffar.

Diana Blumberg Baumrind membuat penelitian terhadap gaya keibubapaan dan kesannya pada pembentukan anak - anak. Dia telah mebahagikan gaya Keibubapaan kepada 3 jenis:



1.      Autoritarian

Ciri – cirri gaya jenis ini:
  • Sentiasa menekan anak2
  • Tiada ruang bersuara
  • Memaksakan kehendak kepada anak2
  • Menetapkan batas dan peraturan yang ketat dan sempit
  • Merasakan ibu bapa tahu yang terbaik untuk anak2
  • Membuat keputusan tanpa bersyura dgn anak atau bertanya pendapatnya

 Hasilnya berkemungkinan:
  • Anak takut kpd ibu bapa atau akhirnya memberontak sekiranya berpeluang
  • Anak yang terlalu dikawal tidak pandai membuat keputusan


2.      Permisif

Ciri – cirri gaya jenis ini:

  • Sentiasa menurut kehendak anak,
  • Tidak pernah bertanya mengapa
  • Takut hendak menegur anak
  • Tidak menetapkan batas dan peraturan
  • Merasakan keputusan anak sentiasa betul dan ibu bapa tidak boleh mengawal anak

Hasilnya berkemungkinan:

  • Anak menjadi raja di rumah
  • Anak jadi besar kepala, tidak hormat ibu bapa dan berani menentangnya


3.      Autoritatif

Ciri – cirri gaya jenis ini:

  • Hubungan dua hala di antara ibu bapa dan anak
  • Sentiasa bersyura dengan anak
  • Hubungan yang mesra, terbuka, boleh berbincang, menerima pendapat dan mempertimbangkan semua pendapat
  • Meletakkan batas sempadan dan peraturan yang munasabah dalam semua perkara
  • Bersikap lunak, memahami dan menerima perbezaan anak2

Hasilnya berkemungkinan:
  • Anak hormat ibu bapa dan sering merujuk sebarang panduan dari ibu bapa
  • Anak pandai menyesuaikan diri, boleh membuat keputusan yang tepat, pandai membawa diri dan mudah memahami orang lain.

  Ada faktor lain juga untuk menentukan hasil pembentukan.Tetapi gaya keibubapaan ini merupakan aspek utama. Ia memberi kesan pada suasana anak - anak membesar.

Moga ibubapa dapat bermuhasabah agar anak yang kita harapkan adalah anak - anak yang mampu hormat kedua ibubapa. Bukan sekadar taat, tetapi boleh tumbuh membesar dengan keunikan dirinya dan berperanan.


Tuesday, May 3, 2016

10 Bahasa Cinta



Susunan teks oleh : Roselinee Mohammad Radzi

Teks ini ditulis berdasarkan bahan dari Modul Belaian Fitrah oleh :
Puan Hajah Azlina Roszy Gaya Keibubapaan

  Bahasa Kebenaran 


Oleh sebab itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mereka berbicara dengan tutur kata yang benar (qaulan sadida)”. [An Nisa’:9]

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar (qaulan sadida).” [Al Ahzab:70]

Daripada 2 firman Allah di atas, menjadi hujah yang kuat bagi orang-orang yang beriman dan bertakwa agar sentiasa menggunakan bahasa yang benar (qaulan sadida) apabila berkomunikasi dengan anak-anak.

Menggunakan bahasa yang benar bermaksud, menggunakan perkataan yang relevan dengan usia anak-anak. Berbicara dengan mereka perkara-perkara yang penting. Pastikan juga ibu bapa mengungkapkan hanya perkara yang benar sahaja dan tidak menipu agar matlamat komunikasi bersama anak-anak tercapai.

Sebaiknya apabila berkomunikasi dengan anak-anak, kita pastikan bahawa kita jelaskan kepada mereka dengan jelas serta berterus-terang menggunakan perkataan yang positif.


Bahasa Yang Mulia


“Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut di dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang mulia (qaulan karima).” [Al Isra’: 23]

Komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak adalah suatu hubungan dua hala dan akan memberikan kesal timbal balik. Jika sedari awal ibu bapa sentiasa menuturkan kepada anak-anak perkataan yang mulia, maka apabila anak-anak telah dewasa dan ibu bapa pula telah lanjut usia, mereka akan melayan kedua ibu bapa dengan bahasa yang mulia (qaulan karima) pula.

Menggunakan perkataan yang mulia (qaulan karima) adalah sentiasa memuji anak-anak sekiranya mereka melakukan perkara yang betul dan baik. Apabila memanggil anak, panggillah mereka dengan panggilan yang baik dan mulia. Namakan mereka dengan nama yang maksudnya baik. 

Sentiasa memuliakan anak-anak dengan meletakkan nilai kemanusiaan kepada dirinya. Maksudnya, para ibu bapa hendaklah melayan mereka sesuai dengan umur dan kematangan mereka. Jangan meletakkan harapan terlalu tinggi kepada anak-anak. Jika mereka gagal melakukan sesuatu perkara, beri mereka galakan dan harapan bukan cacian dan celaan.


Bahasa Yang Berbekas di Jiwa


"Mereka itu adalah orang-orang yang (sesungguhnya) Allah mengetahui apa yang ada di dalam hatinya. Kerana itu berpalinglah kamu dari mereka, dan berilah mereka nasihat, dan katakanlah kepada mereka perkataan yang berbekas di jiwa (qaulan baligha).” [An Nisa’:63]

Qaulan baligha atau bahasa yang berbekas di jiwa boleh diterjemahkan juga sebagai bahasa yang efektif. Berkomunikasi dengan intonasi dan gaya bahasa yang betul sesuai dengan keadaan dan tepat pada waktunya sehingga mendatangkan keinginan untuk berubah atau melakukan sesuatu yang dikehendaki. Kata-kata yang datang ikhlas dari hati akan sampai ke hati juga.


Bahasa Yang Baik


“Tetapi janganlah kamu membuat perjanjian (untuk menikah) dengan mereka secara rahsia, kecuali sekadar mengucapkan kata-kata yang baik. (Qaulan ma’rufa)”. [Al Baqarah: 235]

  “Berilah mereka belanja dan pakaian (dari hasil harta itu) dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang baik (qaulan ma’rufa). [An Nisa’: 5]

Daripada tafsir Ibnu Kathir: Maksud 'qaulan ma’rufa' adalah memberikan layanan yang baik, menggunakan tutur kata yang baik, menunaikan hak seperti memberi nafkah serta menjaga hubungan kekeluargaan.

Selain daripada itu, mengenali emosi setiap ahli keluarga serta menguruskan emosi dengan baik juga termasuk dalam mengucapkan kata-kata yang baik. Setiap ibu bapa seharusnya berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengawal kemarahan agar komunikasi bersama anak-anak akan lebih berkesan. 


Bahasa Yang Lebih Baik


“Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku, “Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (ahsanu qaulan). Sungguh, syaitan itu (selalu) menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sungguh, syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia”. [Al Isra’: 53]

“Dan bertutur katalah yang baik kepada manusia, laksanakanlah solat dan tunaikanlah zakat”. [Al Baqarah: 83]

Islam sangat-sangat menganjurkan kita mengucapkan hanya kata-kata yang baik dalam komunikasi seharian kita kerana setiap apa yang kita tuturkan bakal dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Oleh yang demikian, kita seharusnya berusaha untuk menyampaikan maklumat atau bercakap dengan baik dan sopan dalam apa jua keadaan baik dalam tenang mahupun ketika berselisih pendapat.


Bahasa Lemah Lembut


“Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya (Firaun) dengan perkataan yang lemah lembut (qaulan layyinan), mudah-mudahan dia sedar atau takut”. 
[Taha: 44]

Menurut tafsir Ibnu Kathir, yang dimaksudkan dengan 'qaulan layyinan' adalah  menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh orang yang mendengar dan menggunakan bahasa yang lembut.

Sentiasa memberikan maklumat yang tepat yang diperlukan oleh pendengar beserta bukti dan hujah yang benar. Berikan pengajaran bukan setakat ugutan dan ancaman.


Bahasa Motivasi


“Dan jika engkau berpaling dari mereka untuk memperoleh rahmat dari Tuhanmu yang engkau harapkan, maka katakanlah kepada mereka ucapan yang lemah lembut (qaulan maisura).” [Al Isra’: 28]

Dari tafsir Ibn Kathir : Bahasa motivasi (qaulan maisura) adalah kata-kata yang mengandungi janji untuk meyakinkan seseorang. Namun ianya bukanlah janji-janji kosong sekadar menyedapkan hati atau sekadar ingin menyedapkan kata tetapi janji yang mudah dan mampu ditunaikan dengan tujuan untuk memotivasikan seseorang.


Bahasa Berhikmah


“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik” [An Nahl: 125]

Yang dimaksudkan dengan hikmah adalah kebijaksanaan.

Sebagai ibu bapa, gunakan kebijaksanaan dan kreativiti di dalam menyampaikan hujah dan galakkan anak-anak berfikir dan mengeluarkan hujah dengan bernas.

Bahasa Kejujuran


“Apabila kamu berbicara, bicaralah sejujurnya, sekalipun dia kerabat(mu) dan penuhilah janji Allah. Demikianlah Dia memerintahkan kepadamu agar kamu ingat” .[Al An’am:152]

Apabila kita berbicara, perlu bagi kita berbicara dengan jujur dan adil di dalam perkataan dan tindakan. Anak-anak menilai kita setiap detik dan ketika dan mereka akan membuat keputusan samada kita konsisten atau tidak.

Bahasa Kemaafan


“Jadilah pemaaf, dan suruhlah orang mengerjakan yang maaruf serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh”. [Al A’raf:199]

“Kerana itu maafkanlah mereka dan mohonkanlah ampunan untuk mereka”. 
[Al Baqarah:159]

Anak-anak sentiasa melakukan kesilapan kerana itu fitrah orang yang kurang berakal (matang) yang sedang belajar. Maka, anak-anak adalah orang yang paling berhak mendapatkan kemaafan daripada kedua ibu bapanya.