Friday, April 29, 2016

10 Bahasa Dosa

Susunan teks oleh : Roselinee Mohammad Radzi

Teks ini ditulis berdasarkan bahan dari Modul Belaian Fitrah oleh :
Puan Hajah Azlina Roszy Gaya Keibubapaan



1. Bahasa Melaknat
Allah berfirman di dalam Al-Quran :
“Janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah kamu saling memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk” [Al Hujurat:11].

Allah melarang kita mencela dan memanggil dengan gelaran yang buruk kepada orang lain apatah lagi kepada anak sendiri kerana kata-kata ibu bapa merupakan doa kepada anak-anak. Jika baik ungkapan kita maka baiklah doa kita buat mereka. Namun jika kita sering mengungkapkan kata-kata yang tidak baik maka doa-doa yang tidak baik juga yang akan sampai kepada anak-anak kita.

Elakkan daripada memaki hamun, menyumpah dan mencarut kepada anak-anak. Ini kerana anak-anak akan belajar bahawa memaki hamun dan mencarut adalah sebahagian daripada percakapan dalam hidup.


Elakkan juga daripada memanggil anak-anak dengan panggilan yang tidak sopan seperti, “Hoi pekak!”.




2. Bahasa Menyindir (Sarkastik)

Allah berpesan kepada kita di dalam kalamnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain….” [Al Hujurat: 11].

Berdasarkan firman Allah di atas, kita sebagai ibu bapa dilarang daripada menggunakan bahasa sindiran kepada anak-anak kita hatta dengan alasan untuk mendidik atau menyampaikan mesej. Contohnya : “Dah nak mati tunggu ko masak nasi”. Sebaiknya, gunakanlah bahasa yang baik dan mudah difahami anak.

Elakkan juga daripada membesar-besarkan sesuatu isu atau kesalahan yang dilakukan oleh anak-anak kita. Sebaiknya maafkanlah kesalahan mereka dan betulkan kesalahan mereka dengan cara yang baik. Contohnya jika anak kita memasak pada hari itu dan lauk yg dimasaknya sedikit masin. Elakkan dari berkata : "Masinnya! Garam tumpah ke"? Sebaliknya beri pujian kepadanya kerana telah berusaha bersungguh-sungguh memasak untuk keluarga. Atau beritahunya secara baik : "Tentu lauk ini akan lebih sedap jika garamnya dikurangkan sedikit".

Terkadang ibu bapa juga cenderung untuk mengatakan perkara yang tidak benar. Sebagai contoh, anak minta duit untuk aktiviti ko-kurikulum. Dengan bersahaja ayahnya berkata : "Ha’ah, bapak kau cop duit". Situasi ini akan menyebabkan anak merasa keliru dan meletakkan anak dalam keadaan yang tidak pasti.



3. Bahasa Berdusta

Bercakap bohong atau berkata dusta antara bahasa yang dilarang oleh Allah untuk kita gunakan dalam perbualan seharian apatah lagi bila berkomunikasi dengan anak-anak. Allah sebut di dalam Al-Quran : “…jauhilah perkataan dusta (qaulan zura)”. [Al Hajj:30]

Mengapa agaknya ibu bapa sering berbohong kepada anak-anak?
Ini mungkin kerana :
  • Untuk menakut-nakutkan anak kecil.
  • Kerana malas melayan.
  • Tidak tahu apa jawapan.
Tanpa disedari, berbohong akan menyemai bibit-bibit tidak percaya dalam diri anak-anak kepada ibu bapa. Natijahnya, anak-anak akan menjadi penakut, malas mencuba serta tiada keyakinan diri. Lebih malang lagi, apabila membesar, anak-anak pula akan berbohong kepada kedua ibu bapanya.

     4. Bahasa Menempelak 

    Bahasa menempelak adalah salah satu bahasa yang sewajarnya dielakkan oleh kedua ibu bapa untuk digunakan dalam berkomunikasi dengan anak-anak. Contoh-contoh bahasa menempelak adalah :
    • “Padan muka kau! Aku dah bagitau dah”. “Kamu degil sangat”.
    • “Kamu ingat kamu pandai sangat”.
    • "Dah baik2 dapat laki, mintak cerai apasal?"
    Selain itu, perbuatan ibu bapa yang suka menyindir perilaku anak-anak juga akan memberikan impak yang negatif kepada perilaku anak-anak. Contoh bahasa menyindir adalah : "Cantik betul markah kau, merah semuanya".

    Ada juga di kalangan ibu bapa yang suka berkomunikasi dengan anak-anak menggunakan bahasa terbalik seperti : "Pergilah panjat lagi pokok tu, buatlah lagi". Niatnya untuk melarang anak-anak dari melakukan sesuatu perkara dengan harapan anak-anak akan faham. Tetapi malangnya anak-anak sebenarnya tidak faham ketiga-tiga bahasa tersebut (menempelak, menyindir dan bercakap bahasa terbalik). Akhirnya anak-anak membesar dengan merasa keliru yang mana satukah perbuatannya yang betul dan disenangi oleh kedua ibu bapanya.Lebih malang lagi apabila ibu bapa tidak pernah memuji perbuatan baik anak-anak malah sering menempelak mereka apabila melakukan kesalahan.


     5. Bahasa Mengkritik

    Ada di kalangan ibu bapa sering mengkritik anak-anak dengan mencari salah mereka. Membebel dan berleter menjadi kebiasaan para ibu apabila anak-anak melakukan kesalahan. Ada sahaja perbalahan atau ibu bapa tidak bersetuju dengan pilihan anak-anak walaupun pada akhirnya ada sebahagian ibu atau bapa akan tetap mengikut kehendak anak-anak mereka.

    Akibatnya, anak-anak merasa ibu bapa tidak percaya kepada mereka. Akhirnya, menyebabkan anak-anak lebih cenderung melakukan sesuatu di luar batasan semata-mata untuk melihat reaksi ibu bapa.



    6. Bahasa Mengungkit

    Ada di kalangan ibu bapa yang sering mengungkit-ungkit pemberiannya ataupun jasanya kepada anak-anak apabila mereka marah. Allah melarang perbuatan ini di dalam Al-Quran : “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu merosakkan sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan
    penerima)”. [Al Baqarah: 264]


    Kata-kata seperti :  
    • "Sedarlah diri sikit".
    • "Siapa yang buat semua ini?". "Siapa yang beli semua ini?".
    • "Kalau ibu tak sekolahkan kamu, tak merasa kamu dapat gaji besar".
    • "Kalau ayah tak kerja cari duit, kebulur kamu semua".
    Kata-kata seperti ini tidak akan menimbulkan kasih-sayang anak-anak kepada ibu bapa. Malah mungkin akan mengguris perasaan mereka. Lebih malang lagi apabila segala budi kita kepada anak-anak tidak dipandang Allah kerana kita menyakiti hati mereka. Bayangkanlah, apakah bekal kita jika segalanya sia-sia kerana dosa kita mengungkit pemberian kita kepada anak-anak.



    7. Bahasa Membanding-bandingkan

    Perbuatan membanding-bandingkan anak sendiri dengan anak orang lain atau membandingkan mereka dengan adik beradik yang lain hanya akan membuatkan anak-anak sering berkecil hati dan mereka tidak berupaya mengenali potensi diri mereka sendiri. Sikap ibu bapa yang suka membanding-bandingkan, akan membuatkan anak-anak menjadi mudah putus asa, kurang keyakinan diri dan enggan mencuba kerana takut gagal.

    Ibu bapa perlu sedar bahawa setiap anak adalah anugerah Allah yang dikurniakan rezeki masing2. Menjadi tanggungjawab bagi kedua ibu bapa untuk menggilap potensi diri anak-anak dengan meneroka kemampuan mereka samada dalam bidang pelajaran, sukan, seni atau kemahiran tertentu.   



    8. Bahasa Mengungut

    Menjadi ibu bapa perlu banyak bersabar dalam mendidik amak-anak. Elakkan menggunakan bahasa yang menekankan arahan membuta tuli dengan akibat yang sangat buruk atau tidak munasabah bertujuan mendapatkan kepatuhan.
    Terkadang kerana terlalu ingin anak-anak segera berbuat apa yang kita inginkan, kita cenderung untuk bercakap bohong dengan menyatakan alasan yang tidak logik seperti :
    • “Kalau tak dapat A, tak boleh ikut bercuti”.
    • “Kalau tak dengar cakap ayah, keluar dari rumah ni.”
    • “Kalau nakal2 tak dengar cakap mama, biar mama mati.”
    Elakkan daripada meletakkan 'expectation' yang keterlaluan kepada anak tanpa memahami kesukaran yang mereka hadapi. Keadaan seperti ini akan menyebabkan anak berada dalam situasi serba salah.

    9. Bahasa Menuduh 

    “Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui. Kerana pendengaran, penglihatan dan hati nurani, semua itu akan diminta pertanggungjawabannya”. [Al Isra’: 36]

     Segala yang kita tuturkan di dunia ini akan dipertanggungjawabkan kelak. Maka, sewajarnya kita menjaga tutur kata kita hatta dengan anak-anak kita sendiri kerana anak-anak bukanlah hak milik kita tetapi mereka adalah amanah daripada Allah swt.

    Usah kita menuturkan kata-kata yg tidak benar kepada anak-anak kita hanya berasaskan andaian kita sahaja. Sebaiknya kita selidik terlebih dahulu sebelum kita menjatuhkan apa-apa hukuman kepada anak-anak kita.

    Sebagai ibu bapa yang lebih matang pemikirannya berbanding anak-anak, kita seharusnya tidak membuat tuduhan melulu kepada anak-anak tanpa usul periksa. Contonya jika kita sedar ada cawan yang pecah di dapur. Kita dengan cepatnya memarahi anak lelaki kita yang suka memanjat. Walhal mungkin sahaja ianya perbuatan anak yang lain.

    Satu lagi kesalahan yang sering ibu bapa lakukan adalah, sering menyalahkan anak yang lebih besar di atas kesalahan yang dilakukan oleh adik. Contohnya apabila adik terjatuh, maka kakak atau abang dimarahi kerana tidak pandai menjaga adik. Usah meletakkan tanggungjawab yang sepatutnya kita pikul ke atas bahu anak-anak yang masih muda usianya. Elakkan juga dari menghukum anak-anak membuta tuli tanpa usul periksa.

     
    10. Bahasa Bisu

    Ibu bapa jangan menyusahkan anak-anak dengan memberikan 'silent treatment' apabila anak-anak ada berbuat salah. Jangan amalkan sikap tidak bertegur sapa dengan anak-anak dengan alasan supaya anak-anak memikirkan sendiri kesalahan mereka.

    Situasi sebegini hanya akan menyebabkan anak-anak menjadi keliru dan bingung kerana tidak tahu apa yang seharusnya mereka perbuat. Ini kerana anak-anak tiada kematangan akal untuk muhasabah perbuatan mereka. Mereka perlukan kita untuk memberi tunjuk ajar kepada mereka.

    Ibu bapa sepatutnya memberitahu anak-anak apa kesalahan mereka. Beri mereka nasihat atau amaran supaya mereka tidak mengulangi lagi kesalahan tersebut. Jika mahu mendenda mereka pastikan bahawa mereka tahu terlebih dahulu atas kesalahan apa mereka didenda. Itupun setelah mereka diberi nasihat dan amaran.


    KESAN BAHASA YANG BURUK :

    Bahasa yang buruk akan memberikan impak yang negatif dalam kehidupan seorang anak. Antaranya :
    • Anak-anak akan menjadi degil, malas dan keras hati.
    • Mempunyai keyakinan diri dan jati diri yang rendah.
    • Takut berbuat salah. Mereka enggan mencuba, tidak berani memberi pendapat, penakut dan menjadi pak turut.
    • Mereka mudah marah, melenting, memendam perasaan negatif dan pendendam.
    • Mereka mudah untuk terlibat dengan gejala sosial kerana ingin keluar dari masalah dan inginkan perhatian.
    • Mempunyai kemahiran interpersonal yang rendah – hubungan dengan orang lain, pasangan, ibu bapa dll.
    • Mendapat penyakit mental seperti kemurungan, kecelaruan bipolar, skizofrenia, kecelaruan personaliti dll.